Kadang-kadang saya terserempak dengan cara berfikir yang dimiliki oleh sesetengah rakan sebaya saya yang sangat memperjuangkan kemajuan negara kita dari sudut acuan Melayu nasionalis. Mereka mengaku negara kita belum lagi mencapai potensi sebenar yang dimilikinya, malah jauh lagi disebabkan tangan-tangan jahat yang tidak memimpinnya dengan baik sehingga menyebabkan potensi itu disia-siakan. Orang-orang ini memimpin negara kita dengan jahil, tidak peka dengan kehendak rakyat, penuh korupsi, mementingkan perut sendiri dan kroni masing-masing, tamak, ego, zalim dan bermacam-macam lagi. Jadi demi kemajuan masa depan negara kita, orang-orang ini perlu disesarkan (displaced) oleh orang-orang yang lebih berkebolehan, berintegriti tinggi, faham aspirasi rakyat dan sebagainya. Walaupun secara amnya ini merupakan ciri-ciri kepimpinan baik yang bersifat universal yang diperlukan oleh mana-mana sahaja negara yang ingin maju, namun secara peribadi saya tidak bersetuju dengan ideologi bersifat kebangsaan begitu kalau ia mengenepikan nilai-nilai islam dalam proses pembentukan kepimpinannya.
Dalam konteks yang lebih spesifik iaitu Malaysia sebagai sebuah negara yang didominasi oleh orang Melayu yang beragama Islam, garisan halus antara pemisah perjuangan nasionalisme Melayu dan islam telah menjadi halus malah kadang-kadang disekalikan sahaja. Kalau ada pihak-pihak yang berusaha ke arah kemajuan bangsa atas dasar kecintaan kepada agama bermula dengan kecintaan terhadap tanah air, yang itu saya setuju. Orang Melayu itu sendiri perlu diperkasakan dengan nilai-nilai positif yang diajarkan oleh Islam demi memastikan survival agama ini bertahan malah dapat dikembangkan dengan baik di rantau ini. Namun apa yang saya sangat khuatirkan terdapat orang-orang yang memaksikan perjuangan melayu ini demi survival bangsa itu sahaja semata-mata tanpa mengambil islam langsung sebagai factor yang menentukan arah tuju perjuangan mereka, ataupun cukup dengan sekadar dengan mengelirukan orang ramai dengan fahaman sekularisme.
Adalah sangat senang untuk kita terperangkap dengan helah gula-gula penyedap mulut golongan ini. Oleh kerana melayu itu kononnya sudah sebati dengan islam, maka tak perlu bising-bising sangat pasal perjuangan islam. Lalu islam yang diambil semasa memperjuangan nasionalisme Melayu mereka hanyalah islam yang bersifat status quo seperti yang difahami oleh majority masyarakat iaitu cuma merangkumi hal ehwal ritual ibadah tanpa ada usaha untuk cuba memahami islam sebenar yang syumul merangkumi system siasah (politik), ekonomi, social, undang-undang dan sebagainya.
Untuk memahami kenapa perlu masyarakat melayu kembali kepada islam dalam perjuangan politik mereka, adalah perlu terlebih dahulu untuk memahami mengapa masyarakat kita mundur, rosak dan jatuh tanpa islam itu sendiri. (kalau anda rasakan masyarakat kita sekarang memang dah ok dan tak mundur, malah maju dan berdaya saing itu cerita lain, saya pun tak boleh kata apa-apa lah). Islam yang difahami pada hari ini oleh majority besar rakyat Malaysia hanyalah terikat dengan ritual-ritual keagamaan seperti solat, puasa, haji dan sebagainya. Apabila disebut pula tentang negara islam yang mengamalkan hukum syariat dalam pemerintahannya, maka kita akan terbayang tentang hukuman hudud, potong tangan kalau mencuri dan sebagainya. Walaupun hukuman jenayah begitu wujud dalam cabang undang-undang sebuah negara islam yang mengikut Al Quran dan sunnah, ia cumalah sebahagian kecil yang cuma dikuatkuasakan bila timbul jenayah sedemikian rupa di kalangan pelaku jenayah yang sudah tentu sangat kecil peratusannya di kalangan populasi penduduk kalau konsep-konsep lain dalam pemerintahan islam yang lebih utama dapat dilaksanakan terlebih dahulu, contohnya dakwah. Sedangkan sifat pemerintahan islam yang jarang cuba dihebahkan kepada ramai ialah sebuah pemerintahan yang adil, di mana hak-hak rakyatnya dijamin oleh perlembagaan, riba’ diharamkan kerana cuma menguntungkan sangat sedikit di kalangan anggota masyarakat, rakyat hidup dalam suasana beriman di mana dakwah sangat diresapi dengan sangat pervasive dalam masyarakatnya, dan ketua kerajaan dipilih oleh suatu system syura yang demokratik lagi bijaksana dan boleh pula ditegur dan dikritik bila melakukan kesalahan.
Saya berpendapat di sini system demokrasi bukanlah merupakan suatu system yang adil untuk memilih pemerintah yang paling baik walaupun ia mendapat sokongan majority sesebuah negara kerana seperti berlaku di sesetengah negara, rakyat kebanyakan mengundi berdasarkan sentiment isu yang dimainkan, latar belakang pendidikan mereka dan pendedahan serta ilmu mereka untuk menjustifikiasikan pemilihan yang dibuat. Rakyat negara majority orang bodoh hanya akan memilih pemimpin bodoh yang cuma pandai lebih sedikit sahaja untuk dapat menipu mereka. Contoh yang tidak patut kita lupai ialah bagaimana Slobodan Milosevic telah diangkat sebagai pemimpin dengan cara yang demokratik sebelum dia menyembelih ramai orang tidak termasuk Muslim sahaja di Yugoslavia. Ada banyak lagi contoh lain di mana demokrasi mutlak bukanlah jawapan kepada semua permasalahan. Barat sendiri melalui fasa-fasa kematangan dalam perjalanan demokrasi mereka (sebagai contoh, wanita dan kulit hitam dulu tidak diberikan hak mengundi di Amerika), tapi mereka nak paksa orang lain terima demokrasi tanpa batas mereka hari ini. Ini sudah masuk cerita lain, pardon me I have digressed a little.
Kembali kepada peranan islam untuk membentuk pemimpin yang baik. Oleh sebab islam sebenar (bukan islam sekular yang ramai kita keliru) mengajar kita untuk mengislamkan seluruh aspek kehidupan kita, maka islam turut mengajar kita untuk mendidik diri dengan sifat-sifat mahmudah yang menjadi bukti orang-orang bertaqwa yang takutkan Allah dan azab akhirat. Sifat-sifat seperti rajin berusaha, tawakkal, qanaah, tawadduk, jujur, amanah, berani bersuara kerana benar dan sebagainya merupakan sifat-sifat biasa yang diperintahkan oleh Allah dalam Al Quran dan diajarkan oleh Rasulullah SAW dalam As-sunnah. Situasi hari ini di mana orang islam di Malaysia sangat jauh daripada sifat-sifat ini berpunca daripada pengasingan islam yang sebenar dari kehidupan seharian mereka. Kita hanya mencari agama pada hari jumaat, bulan puasa, waktu nak pergi umrah dan sebagainya. Tudung pula dipakai oleh perempuan sebab ikutkan trend semasa. Solat pula dibuat sebab kita takut kalau tak solat nanti kena sound dengan mak, ustaz atau member-member. Hikmah ibadah-ibadah ritual itu pun kita tak dapat faham apatah lagi nak faham kenapa perlunya hukum-hakam islam dalam aspek kehidupan kita yang lain. Maka sebab itu orang bukan islam memerhatikan kita sebagai penganut agama dengan ritual-ritual yang ‘berat’ tapi dalam masa yang sama kitalah pelaku rasuah nombor satu negara, bangsa paling ramai kena AIDS, hisap dadah, lari dari rumah dan sebagainya.
Benar bahawa untuk mencapai status negara maju kita perlukan sebuah kepimpinan dan rakyat yang berintegriti tinggi dan bermoral tinggi supaya korupsi dapat diminimakan dan hasil pengeluaran negara dapat ditingkatkan pada tahap yang maksimum. Untuk itu nilai-nilai murni sangat perlu diterapkan kedalam diri setiap rakyat. Namun penerapan nilai murni kerana semata-mata mempunyai tujuan memajukan negara dari sudut material tidak akan pergi jauh ke mana-mana. Malah bagi sebuah negara yang membangun seperti Malaysia, yang berada dalam suatu ekonomi bersifat transitive, di era globalisasi di mana rakyatnya sudah begitu terdedah dengan dunia luar, ia cuma akan mengembalikan kita ke dalam suatu vicious cycle yang sentiasa mengurung kita ke dalam suatu kemunduran akibat korupsi dan salah guna kuasa.
If you cannot beat the system, you DON’T join the system.