Semalam (jumaat) merupakan hari yang dipersetujui oleh Organisasi Ulama’ Sedunia yang diketuai oleh Syed Yusuf Al-Qardhawi sebagai hari seluruh umat Islam sedunia patut menunjukkan kemarahan kepada rejim Yahudi yang memerintah Israel yang menakluki Palestine lantas menunjukkan solidarity terhadap perjuangan mempertahankan Al Aqsa daripada dihancurkan dan terus menyokong jihad membebaskan Palestine daripada cengkaman kezaliman Yahudi laknatullah.
Saya melihat gesaan ini dengan suatu pandangan yang agak kebingungan dan mungkin sedikit kecewa dengan diri sendiri. Saya bingung memikirkan bagaimana untuk kita menzahirkan kemarahan ini sedangkan kita sendiri tidak cukup berasa marah. Kita memang biasa dengan ungkapan “berat mata memandang, berat lagi bahu memikul” bukan? Tak kira macam mana teruk dan simpati kita lihat penderitaan rakyat Palestine di kaca TV atau di dada-dada akhbar, tahap kemarahan dan kekecewaan kita takkan sama dengan mereka yang melalui sendiri penderitaan tersebut. Belum ada lagi dari kita yang saya kenal pernah meraung-raung sebab tengok berita kat TV atau baling pasu bunga ke arah TV.
Apakah nilai sebuah perjuangan Palestine di mata kita? Adakah semata-mata bahan ikutan yang cuma hangat diperkatakan bila Israel tiba-tiba menyerang lalu ramai yang terkorban? Sedangkan dalam proses rundingan-rundingan (hipokrit) damai yang diadakan, mereka sentiasa menjadi mangsa ketidakadilan dan kesengetan status quo yang sentiasa cuba diputarbelitkan kefahaman orang ramai terhadapnya.
Saya bingung memikirkan apakah ada ruang untuk seorang anak Malaysia seperti saya yang lahir dalam suasana pasca-merdeka serba cukup untuk memahami erti sebuah perjuangan menuntut kemerdekaan. Adakah cukup Islam dan Iman dalam diri ini untuk menghayati erti persaudaraan seperti Hadis No. 13 yang sangat popular dalam Kumpulan Hadis 40 susunan Imam Nawawi itu? Rasa malu sebab di saat diri ini menyumpah seranah kelembapan servis internet di hostel sendiri di Moscow, saudara-saudara saya di Gaza terus tabah menghadapi hidup serba kekurangan tanpa air dan makanan akibat sekatan ekonomi di sana. Malu juga sebab sewaktu diri ini mengeluh terperangkap dalam kesesakan lalu lintas dalam bas di petang Jumaat di Moscow yang sibuk, saudara-saudara di Tebing Barat ditahan dan disoal siasat macam penjenayah walaupun untuk ke hospital membawa ibu bunting yang dah nak beranak.
Sekali sekala dengan menonton video-video cetusan pendapat Dr Azzam Tamimi atau George Galloway serta mendengar lagu-lagu nasyid dari seberang yang mengajak jihad di Palestine, naiklah kot sikit-sikit semangat nie. Tapi di waktu-waktu lain, cukupkah marahku untukmu Palestine?