Sudah 1 Bulan
Salam wrt. Alhamdulillah, masih lagi diberi kesempatan oleh Allah SWT untuk mengemaskinikan blog walaupun pada hari ini sudah genap sebulan tidak dikemaskini. Sebenarnya azam aku ialah untuk kemas kini blog sekurang-kurangnya seminggu sekali namun memandangkan beberapa minggu yang sudah merupakan minggu-minggu terakhir aku di alam akademik peringkat sarjana muda, maka terdapat beberapa isu teknikal yang perlu diselesaikan. Menulis blog cumalah suatu proses output terhadap input-input yang perlu diproses terlebih dahulu. Memandangkan aku pura-pura sibuk atau perasan sibuk maka sangat dikesali bahawa begitu sedikit proses input yang dilakukan menerusi otak dalam masa sebulan ini, astaghfirullah. Namun jikalau tiada input maka lebih baik tidak mengeluarkan apa-apa output lansung kerana kemungkinan apa yang keluar nanti cumalah tak lebih daripada sampah sarap.
Abu Jahal
Jikalau kita membaca sirah nabi maka tentu selalu kita akan terjumpa kisah Abu Jahal. Siapakah sebenarnya Abu Jahal ini? Jarang sekali orang berminat hendak mengetahui tentang dirinya. Sejak kecil kita diajar Abu Jahal adalah seorang musuh Rasulullah SAW semasa baginda sedang berjuang mengembangkan dakwah di bumi Makkah. Orang-orang yang menentang Rasulullah tentulah dianggap sebagai orang jahat. Jikalau cuba digambarkan sudah tentu kita akan menggambarkannya sebagai seorang yang ganas, tidak berhati perut, bermuka hodoh lagi bengis, berbadan besar, kasar, gelojoh dan sebagainya kerana itulah stereotaip watak-watak villain atau antagonist dalam fiksyen-fiksyen yang kita baca atau tonton. Wallahualam.
Dalam budaya Arab biasanya seseorang itu akan memiliki tiga nama iaitu ism, kuniyah dan laqab. Sebagai contoh Umar ibn Al Khattab adalah ism bagi tokoh sahabat yang sangat kita kagumi itu. Kuniyah-nya pula ialah Abu Hafsh yang diambil dari nama anak perempuannya iatu Hafshah binti Umar. Laqabnya pula ialah Al Faruq iaitu lebih kurang nama gelaran.
Abu Jahal pula nama sebenar atau ismnya ialah ‘Amr ibn Hisyam. Orang-orang Arab pada waktu itu lebih memanggil dia dengan kuniyah-Nya iaitu Abul Hakam. Al Hakam boleh jadi ialah nama anak lelakinya. Tetapi ia juga menandakan bahawa kemungkinan dia termasuk dalam golongan hukumah (pemerintahan) di Mekah. Juga menandakan bahawa dia adalah seorang yang Hakiim, iaitu memiliki banyak hikmah dan kebijaksanaan. Dan juga Haakim yang bermakna dia memiliki suatu status yang hebat dalam legislastive di Mekah kerana kepandaiannya dan ilmunya.
Ok barangkali sekarang mungkin pandangan kita terhadap Abu Jahal sudah berubah sedikit. Mungkin sekarang kita akan berpendapat ada kemungkinan Abu Jahal seorang yang segak dan kemas berpakaian, malah handsome, bijaksana, tinggi ilmu pengetahuan, berpengaruh, banyak harta dan disegani serta dihormati masyarakat.
Jadi kenapakah dia lebih dikenali dengan laqab Abu Jahal di kalangan orang beriman. Takkanlah dia sudah menamakan anaknya dengan nama Jahl yang bermaksud si bodoh.
Jahiliyah di dalam definisi pengembangan dakwah Rasul dan para pengikutnya bukanlah bermaksud buta huruf atau kedunguan dan kebodohan dalam menguasai ilmu pengetahuan dan teknologi. Malah orang-orang yang kita gelar jahil seperti Abu Jahal adalah orang yang ternyata sangat bijak malah berpengaruh dalam masyarakat. Jadi di sinilah letaknya kepentingan untuk kita benar-benar memahami definisi sebenar jahiliiyah seperti yang diberitahu oleh Al Quran dan Sunah Rasulullah SAW iaitu panduan ultimate yang tidak ada cacat cela atau keraguan daripadanya.
Keperluan ini datang memandangkan dalam kehidupan kita hari ini, beza pemisah antara kejahilan dan kebenaran sudah berada dalam zon kelabu yang amat sukar untuk dibezakan. Orang-orang yang jahil kini menduduki kerusi-kerusi yang sangat berpengaruh dalam masyarakat, mereka membeli pengaruh dengan wang atau kepetahan dan kehebatan mereka menjual idea-idea mereka. Mereka sangat dedikasi dan berdisiplin tinggi, malah lebih ‘islamik’ berbanding orang-orang Islam sendiri dalam mempelajari dan mengembangkan dakyah jahiliyah mereka. Orang-orang Islam yang lebih bernasib baik dikurniakan Allah dengan IQ yang lebih tinggi sedikit dipesongkan daripada ajaran Islam yang sebenar dengan gerakan Islam liberal yang mengajak berfikir tapi di luar daripada kerangka AL Quran dan diukur dengan nilai-nilai yang datang dari Barat. Orang-orang Islam yang kurang bernasib baik berIQ rendah sedikit pula dihanyutkan dengan hiburan-hiburan yang sangat melalaikan sehingga mengambil masa kita untuk duduk sejenak dan berfikir arah tujuan hidup kita. “Abu Jahal” bagi golongan ini tidak perlu seorang yang sangat educated pun, cukup dengan menyertai sebuah pertandingan realiti TV dan memiliki wajah yang cantik atau kacak.
Barat merupakan hipokrit paling hebat yang boleh kita temui
Tidak dinafikan nilai-nilai dan kemewahan serta kesenangan hidup yang ditunjukkan oleh Barat merupakan sesuatu yang sangat menggiurkan. (Bukan sekali dua diri ini futur) Nilai-nilai kebebasan untuk membuat pilihan peribadi, hak untuk menjadi kaya sesuka hati dan berseronok tanpa batasan bukan sahaja mengancam umat Islam, malah sudah meresap ke dalam blok-blok ketamadunan yang lain sehingga hari ini personal freedom untuk menikmati keseronokan tanpa batasan itu sudah menjadi suatu gold standard bagi kebanyakan umat manusia di muka bumi ini.
Namun jahiliah tetap jahiliah walau bagaimana sekalipun cuba dikaburi atau disolek. Manusia yang melampaui batas hatta dalam mengejar personal freedom untuk mendapatkan keseronokan diri sendiri sudah tentu akan end up menzalimi manusia lain atau sekurang-kurangnya menyebabkan kerosakan pada diri sendiri.
Aku tertarik melihat hipokrasi barat dalam banyak hal. Wanita yang berpegang utuh dengan nilai feminisme Barat mendakwa kebebasan untuk berpakaian sesuka hati termasuklah mendedahkan bahagian tubuh badan yang sangat seksi merupakan bench mark kepada kebebasan mereka. Ini merupakan sesuatu yang sangat menghairankan. Adakah bermaksud bebas apabila bahagian tubuh badan menjadi santapan mata lelaki-lelaki bernafsu jahat? Ataupun pertandingan ratu cantik yang bagi aku tak ubah macam pertandingan Kucing Cantik di pusat membeli belah.
Barat juga hipokrit dalam memberikan tafsiran sesuka hari mereka dalam freedom of speech terutamanya yang berkaitan dengan isu-isu anti-semitism dan kebimbangan mereka terhadap kemaraan golongan-golongan minoriti Muslim di negara Barat yang bertegas dalam banyak isu seperti penghinaan Nabi Muhammad dan isu-isu berkaitan pakaian menutup aurat oleh wanita Muslim.
Barat hipokrit apabila mendakwa kapitalisme, pasaran terbuka dan globalisasi boleh membawa kepada perkongsian sama rata kekayaan di dunia sedangkan apa yang berlaku di negara sendiri adalah sebaliknya. Lihat apa yang berlaku dengan sub-prime mortgage crisis di Amerika dan masalah yang sedang dihadapi oleh Greece dan Spain di Eropah sekarang.
Kesimpulannya, jahiliyyah walau bagaimana sekalipun cuba dijual kepada kita dalam rupa yang cantik dan menarik, pada akhirnya ia tetap memiliki ciri-ciri yang sama iaitu membawa penderitaan. inkonguren, tidak konsisten dan pasti akan menemui kegagalan.
Carilah jahiliyah dalam diri kita dan mari bermujahadah untuk mengeluarkan diri daripadanya.
Astaghfirullah. Allahu ta’ala a’lam.
(sumber rujukan: Saksikan Bahawa Aku Seorang Muslim oleh Salim A. Fillah)
