Oleh sebab duduk di bilik sahaja kerana keperluan untuk study sempena peperiksaan terakhir aku sebelum menamatkan zaman universiti, maka aku banyak download dokumentari-dokumentari berkenaan sains astronomi, biologi dan bagaimana manusia sangat bersusah payah untuk mencari jawapan-jawapan yang sangat susah hendak difikirkan oleh akal seperti berapa besar alam semesta, sejak bila bumi mula terbentuk, bagaimanakan manusia boleh sampai di bumi, apa yang ada di luar sana dan sebagainya.
Sebagai seorang Muslim, aku terpandangkan suatu simptom yang melanda kebanyakan daripada kita berkenaan kebenaran Al Quran dah wahyu iaitu sometimes it’s too obvious you just ignore it. Oleh sebab awal-awal lagi sudah dinyatakan bahawa tiada fungsi lain seorang manusia kecuali untuk menyembah Allah SWT yang menciptakannya (ayat popular dari Surah Adz-Dzariyat yang selalu orang quote), maka kita pura-pura tidak berminat untuk mengkaji arahan ini dengan lebih lanjut malah lebih berminat dengan teori-teori falsafah yang bermacam-macam ragam yang dikembangkan oleh otak manusia yang serba kekurangan itu. Ia ibarat kisah saintis Russia lawan saintis Amerika yang cuba mencipta sebuah alat untuk membolehkan mereka menulis dalam keadaan zero gravity di mana saintis Amerika menghabiskan berjuta-juta US dollar untuk mencipta pen yang boleh menulis di angkasa lepas manakala saintis Russia cuma menggunakan pensil sahaja.
Sains hanya boleh menemukan manusia dengan ciptaan-ciptaan Allah yang sekian lama wujud sahaja. Sebagai contoh, air tetap akan bertukar menjadi gas pada suhu 100 darjah celcius sejak zaman manusia hidup di gua dan tak tahu membaca lagi. Ia sunnatullah yang tidak akan berubah dari dulu sampai kiamat. Cuma manusia yang semakin cerdik dan pandai telah memerhatikan fenomena alam ini, memberi nama pengewapan untuk fenomena tersebut lalu mengaitkan nombor-nombor berkaitan dan unit-unit tertentu sebagai satu piawaian untuk membuat pemerhatian fenomena perubahan keadaan fizikal bahan-bahan yang lain pula. Dengan ilmu teori tentang fenomena tersebut, manusia memanipulasikannya untuk faedah diri sendiri maka terhasillah pelbagai teknologi moden yang kita dapat nikmati pada hari ini.
Ilmu tentang sains sosial tak ada banyak beza pun dengan penemuan-penemuan sains tulen ini.
Dari dulu lagi manusia telah mencipta pelbagai bentuk sistem politik untuk mentadbir kehidupannya untuk menjadi lebih tersusun dan bermatlamat akhir demi mencapai kebahagian dan keadilan untuk semua. Sejak zaman Greek kuno, empayar Rome, sistem feudal Eropah medieval, manusia bereksperimen dan cuba memikirkan apakah cara hidup terbaik yang dapat menjamin keadilan dan kebahagian untuk semua orang. Sehinggalah dalam sejarah yang paling segar dalam memori kita bagaimana saintis-saintis dalam bidang sains sosial ini sebagai contoh Karl Marx yang sangat terkenal sebagai pengasas idea sosialisme yang kini sudah bankrap atau Adam Smith pengarang buku The Wealth of the Nations yang boleh dikatakan sebagai pengorak langkah kepada sistem kapitalism yang mendominasi dunia pada hari ini. Nampaknya beberapa kejadian terkini seperti kehampehan ekonomi US dengan subprime mortgage crisis ataupun cerita kemuflisan ekonomi Greece pun sudah dapat membayangkan ketidakupayaan sistem ini untuk menjamin semua orang makmur dan aman di dalamnya, Itu cumalah dua contoh yang bersifat hipokrit. Bahawa lebih kurang 75% kekayaaan dunia dimiliki oleh cuma 20% populasi dunia sedangkan 5% kekayaan dunia disebar ratakan sesama 40% * populasi dunia yang yang paling miskin menunjukkan kepada kita bahawa rupa-rupanya manusia moden pada hari ini belum lagi mencapai kemodenan dalam sains sosial bagi menjamin keadilan dan kebahagian untuk kebanyakan penduduk dunia.
Maka sudah tentuk berbalik kepada analogi saintis Russia versus saintis Amerika tadi, akan ada pihak yang memperjuangkan kepentingan kita untuk kembali kepada Al Quran dan sunnah nabi sebagai model untuk mentadbir masyarakat dan ekonomi memandangkan sudah bermacam-macam sistem dicuba namun kebanyakan manusia masih lagi tercari-cari sistem yang ideal. Namun jika kita buka mata untuk mencari bukti dan model berjaya bagi gagasan idea tersebut, sudah tentu kita akan garu kepala kerana tidak berjumpa dengannya.
Kalau benar Islam itu membawa kepada penyelesaian yang total, maka mengapa para alim ulama di negara-negara yang sudah dikuasai oleh orang Islam masih bergaduh tentang pelaksanaan hukum syariat? Itu kira ok lagi, malah ada orang Islam sendiri pun memperlekeh-lekehkan hukum hakam yang sudah diperintahkan oleh Allah SWT melalui Al Quran.
Nampaknya, di sebalik kita mengkaji isu-isu teknikal syariah dan kesesuaiannya dilaksanakan vis-a-vis sistem hidup moden yang sudah berakar umbi dengan sebegitu dalam, kita terlupa bahawa akhlak yang baik juga merupakan salah satu gagasan idea yang perlu dilaksanakan untuk mencapai objektif dan rupa negara-negara Islam yang ideal. Di sebalik keghairahan kita mendebatkan judi piala dunia, rasuah pemimpin-pemimpin yang ada sekarang, isu-isu umat Islam pada hari ini, isu perlaksanaan undang-undang syariah di negara bermajoriti Muslim, sering kita lupa elemen akhlak tersebut.
Campurlah akhlak dalam equation, nescaya kita akan temui Eureka!! yang kita cari-cari.
Allahu ta’ala a’lam.
(pesan untuk diri yang akhlak selalu saja hampeh pun sebenarnya)
*sumber: World Bank Development Indicators 2008