Salam wrt.
Aku menyambut baik rancangan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk melonjakkan Malaysia ke arah negara berpendapatan tinggi melalui Economic Transformation Programma (ETP) menjelang tahun 2020, sesuai dengan status negara maju yang diidam-idamkan seperti yang telah digariskan sejak zaman Tun Dr Mahathir lagi. Beberapa langkah drastik ibarat shock-therapy nampaknya seolah-olah amat wajar untuk dilakukan bagi mengelakkan negara kita terus terperangkap dalam apa yag diwar-warkan sebagai the middle-income trap.
Dalam Najib’s grand plan itu, penyertaan sekstor swasta adalah sangat dominan dengan membiayai lebih 90% daripada keseluruhan nilai projek yang dianggarkan melebihi RM 1 trillion itu. Ini merupakan sesuatu yang agak baru bagi negara kita yang sejak sekian lama bergantung dengan Foreign Direct Investment dan pengurusan aktif kerajaan terhadap ekonomi dalam negara bagi menjamin peluang pekerjaan dan rakyat dapat menikmati keperluan-keperluan asas yang sewajarnya.
Apa yang merisaukan ialah jika langkah-langkah ini berjaya, ia akan menukar situasi negara kita ke arah free market economy yang sangat liberal sehingga menjejaskan sebahagian besar rakyat yang nampaknya dari segi mentaliti dan kemahiran masih belum bersedia untuk menghadapi kesan-kesan sampingannya. Sebagai contoh, perkhidmatan kesihatan awam di negara kita masih lagi disubsidi dengan hebat oleh kerajaan sehingga membolehkan ahli masyarakat yang paling miskin pun menikmati perkhidmatan rawatan yang selesa. (bersyukurlah dengan hospital-hospital kerajaan yang kena kritik maha hebiat itu, jauh lagi baik daripada negara-negara lain malah yang kononnya lebih maju dari Malaysia). Jika status quo yang ada ditukar, sistem itu boleh bertukar sama ada ke arah pembiayaan melalui premium insurans yang mahal seperti yang diamalkan di Amerika Syarikat atau Russia (tempat aku belajar dulu) ataupun pembayar cukai akan dipaksa membayar cukai yang jauh lebih tinggi daripada sekarang bagi membolehkan sistem sedia ada dikekalkan atau ditambahbaikkan seperti negara-negara yang ada polisi welfare society seperti negara-negara Scandinavia di Eropah.
Dalam sektor perumahan pula, sekarang kerajaan mempunyai campur tangan langsung terhadap harga dan spesifikasi rumah-rumah yang dibina oleh syarikat-syarikat pemaju perumahan. Jika sektor ini diliberalisasikan sepenuhnya, kerajaan tidak lagi mepunyai hak-hak untuk memantau harga dan spesifikasi rumah dan rumah-rumah yang dibina akan sepenuhnya menjadi market-driven. Sudahlah dasar perumahan yang sedia ada pun tidak menjamin struktur masyarakat harmoni dapat dilahirkan melalui unit keluarga penyayang yang berasal dari rumah yang selesa, adalah dikhuatiri jika harga rumah semakin mahal dan rumah-rumah yang dibina semakin kecil, masalah sosial dalam negara kita akan menjadi lebih meruncing. Adalah menjadi suatu bentuk makluman umum bahawa banyak masalah sosial di kalangan masyarakat Melayu urban berpendapatan menengah rendah adalah banyak berpunca daripada keadaan rumah yang sempit dan tidak kondusif untuk tumbesaran keluarga yang optimum. Jika begini tidak usah bermimpi untuk mencapai objektif 70 juta rakyat Malaysia kalau rakyat-rakyat baru yang dilahirkan itu cuma penyebar masalah sosial sahaja.
Dua contoh di atas cumalah sedikit contoh-contoh kasar yang bersifat non-academic dari seorang pemerhati picisan macam aku. Pokok persoalannya, adakah kita perlu meletakkan benchmark negara maju yang ingin dicapai pada indeks-indeks yang dicipta oleh badan-badan ekonomi yang dikuasai oleh hegemoni blok Barat seperti The World Bank itu? Sudah tentu memodelkan ekonomi kita mengikut acuan mereka akan turut menyebabkan kita menyerap kesan-kesan sampingan yang akan menimpa struktur sosial masyarakat. Sebagai contoh, rumah yang sempit dan kecil tidak apa-apa bagi sebuah keluarga di bandar New York asalkan dekat dengan tempat kerja kerana definisi keluarga bagi mereka boleh jadi sepasangan wanita lesbian dengan seorang bayi tabung uji yang sperm donor-nya entah penyangak mana-mana. Di Jepun pula, masyarakatnya sangat kuat bekerja dan etika bekerja itu memang menjadi idaman semua CEO syarikat namun motivasi sebegitu semata-mata cuma menjadikan manusia itu robot yang befungsi untuk mencari wang dan memuaskan nafsu keseronokan setelah penat bekerja. Tidak hairan orang-orang Jepun yang rajin dan kononnya sudah menikmati taraf hidup ekonomi maju, juara acara bunuh diri pun mereka juga.
Kesimpulan yang cuba aku sampaikan ialah cuma sebuah persoalan. Perlukan kemajuan sesuatu bangsa itu cuma selama-lamanya diukur dengan angka, nombor, dan indeks-indeks yang manusia sendiri ciptakan?
Mungkin inilah bentuk jahiliyyah yang serupa dengan jahiliyyah di sekita jazirah Arab yang berlaku pada zaman sebelum kerasulan Nabi Muhammad SAW. Serba serbi maju dari aspek fizikal dan material namun kering kontang dari sudut falsafah kemanusiaan~ tentang definisi kemanusiaan itu sendiri dan untuk apa manusia perlu bernafas, hidup dan bekerja di muka bumi ini. Bosan bukan kalau sikit-sikit nak cakap pasal agama, Tuhan, falsafah kemanusiaan, tujuan hidup, dosa, pahala, neraka, syurga dan hal ehwal sewaktu dengannya? Lihatlah keadaan sekeliling kita. Mungkin saluran MTV, cerita-cerita hantu di TV3 pada setiap malam, dan keghairahan kita dengan telefon bimbit paling canggih dan terkini telah menumpulkan otak kita terhadap persoalan-persoalan maha penting yang telah dijadikan perjuangan oleh manusia-manusia hebat yang dikenang oleh sejarah sejak Nabi Adam ‘alahissalam.
Kadang-kadang kita cuma menyedapkan hati dengan mengatakan bahawa ekonomi pun perlu hebat, dalam masa yang sama aspek spiritual jangan dilupa. Nampaknya itulah tempat spiritualiti dalam ketamadunan kita pada hari ini, cuma diingat bila kita tidak sibuk dengan urusan menambah harta kekayaan kita.
Inilah 1Malaysia kita sekarang, sarat dan penuh dengan mentaliti tak apa dan menyedapkan hati. Kita selalu bukan di sini, tidak di situ. We’re always neither here nor there.
